• 2025-09-11 05:30 PM

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengarahkan pihak berkuasa melaksanakan siasatan segera berhubung insiden serangan terhadap Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman.

Beliau menegaskan bahawa semua dalang dan pelaku yang terlibat mesti dibawa ke muka pengadilan tanpa sebarang kompromi.

Saifuddin Nasution mengutuk sekeras-kerasnya insiden menyerang sehingga mencederakan penjawat awam tersebut sebagai satu tindakan keji, tidak bertamadun dan tidak boleh diterima sama sekali.

Beliau menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan berhimpun secara aman tetapi kebebasan ini tidak boleh disalahgunakan.

ACP Sulizmie Affendy dilaporkan cedera di kepala akibat terkena balingan batu oleh individu tidak dikenali semasa mengawal operasi pemotongan bekalan elektrik di Kampung Sungai Baru.

Operasi tersebut dijalankan mengikut arahan mahkamah berhubung proses perobohan struktur rumah di kawasan berkenaan.

Menteri Dalam Negeri menekankan bahawa Malaysia merupakan negara berdaulat yang berlandaskan undang-undang dan setiap warga perlu menghormati prinsip kedaulatan undang-undang.

Beliau menyatakan bahawa keselamatan rakyat dan integriti pasukan keselamatan negara merupakan keutamaan yang tidak boleh dikompromi.

Kerajaan sentiasa menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyatakan pendirian selagi ia mengikut lunas undang-undang.

Kebebasan berhimpun hadir bersama tanggungjawab untuk mematuhi hukum, adab dan undang-undang negara tanpa sebarang pengecualian.

Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana usaha menyalahgunakan hak berhimpun untuk tujuan politik sempit atau mencetuskan suasana tidak tenteram.

Tindakan tegas akan diambil terhadap sebarang percubaan menghasut kebencian melalui penyebaran maklumat palsu yang boleh mengancam keamanan negara. – Bernama