• 2025-07-10 11:34 AM

SUBANG JAYA: Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov tiba di Malaysia bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Lavrov mengetuai delegasi Rusia ke mesyuarat tersebut, yang diadakan dari 8 hingga 11 Julai.

Beliau tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada jam 8.27 pagi dan disambut oleh Setiausaha Bahagian Tugas-Tugas Khas Datuk Syed Mohamad Bakri Syed Abd Rahman serta Duta Besar Rusia ke Malaysia Naiyl M. Latypov.

Selain menghadiri mesyuarat utama, Lavrov juga dijangka menyertai Persidangan Pasca Menteri-Menteri Luar ASEAN-Rusia dan Forum Serantau ASEAN (ARF).

Beliau turut dijadual mengadakan perbincangan dua hala dengan beberapa menteri luar negara lain di luar sidang rasmi.

“Kedatangan Lavrov menandakan komitmen Rusia dalam memperkukuh kerjasama serantau dengan ASEAN,“ kata seorang pegawai luar negara yang hadir dalam mesyuarat tersebut. - Bernama