Your Title

KUALA LUMPUR: Pengumuman Microsoft Corp untuk melabur US$2.2 bilion (RM10.5 bilion) dalam infrastruktur awan dan kecerdasan buatan (AI) Malaysia bagi tempoh empat tahun akan datang bakal meningkatkan kemahiran 300,000 rakyat Malaysia dan mempercepatkan perjalanan transformasi digital negara, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Pelaburan itu juga akan turut memperkasakan pertumbuhan ekonomi dan keterangkuman negara melalui teknologi yang inovatif dan termaju, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut MITI, pelaburan itu yang dipermudahkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bersama agensi-agensi awam yang lain, dengan kukuhnya menempatkan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan digital.

“Ia juga menyokong inisiatif Malaysia untuk membolehkan penerimaan teknologi baharu, termasuk AI dan AI Generatif, yang boleh membuka kunci kapasiti produktif bernilai US$113.4 bilion (US$1=RM4.7705) di Malaysia,“ katanya.

Pelaburan komited RM10.5 bilion itu diumumkan oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Microsoft Satya Nadella semasa Forum Kepimpinan Nasional AI di Putrajaya hari ini, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Baru-baru ini, Satya mengumumkan pelaburan US$1.7 bilion di Indonesia untuk memajukan infrastruktur awan dan AI di republik itu.

Mengulas mengenai pelaburan Microsoft di Malaysia, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata perkongsian strategik dengan Microsoft adalah apa yang dibayangkan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 (NIMP 2030), yang bukan sahaja akan membantu negara menerima teknologi dengan pantas, malah memupuk inovasi serta keselamatan ekonomi dan keterangkuman.

“Walaupun keutamaan kami adalah untuk menarik pelaburan yang berkualiti, kami juga sedang mencari rakan kongsi yang boleh membantu memperjuangkan komitmen kami untuk memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan rakyat melalui teknologi baharu termasuk AI supaya mereka juga boleh meraih faedah daripada ekonomi digital yang lebih rancak di Malaysia.

“Pelaburan komited RM10.5 bilion oleh Microsoft adalah langkah yang mempercepatkan ke arah hasil positif itu,“ katanya.

Menurut Tengku Zafrul, komitmen teguh Malaysia untuk infrastruktur digital yang kukuh telah meyakinkan banyak syarikat multinasional yang diiktiraf di peringkat global untuk menubuhkan atau mengembangkan kehadiran mereka di sini, seperti yang dibuktikan oleh pelaburan digital bernilai RM144.7 bilion yang diluluskan dari 2021 hingga 2023.

“Memandangkan MITI secara aktif memupuk ekosistem digital yang diperkasakan yang akan memacu penyelesaian berasaskan teknologi merentasi pelbagai sektor, ia juga mengukuhkan cadangan nilai kami bahawa Malaysia adalah tempat permulaan global, atau tempat untuk syarikat yang ingin menempa kejayaan dalam operasi serantau dan global mereka,“ tambah beliau.

Sementara itu, menurut Satya Microsoft komited untuk menyokong transformasi AI Malaysia dan memastikan ia memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

“Pelaburan kami dalam infrastruktur digital dan kemahiran akan membantu perniagaan, komuniti dan mereka yang membangunkan Malaysia menggunakan teknologi terkini untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi yang inklusif di seluruh negara,“ katanya.

Melangkah ke depan, berpandukan NIMP 2030 yang bertujuan untuk menangani ekonomi yang rumit dan memajukan negara secara digital, MITI dan agensinya akan terus menarik pelaburan berkualiti tinggi, termasuk pelaburan digital yang membabitkan teknologi canggih untuk memupuk lebih ramai bakat tempatan, peluang perniagaan dan inovasi.