KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menghormati keputusan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk berundur daripada UMNO dan memilih arah politik yang lebih dekat dengan pandangan peribadinya.

Beliau juga tidak menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang luar biasa atau mengejutkan kerana ia adalah sebahagian daripada dinamika politik yang makin terbuka dan pelbagai.

Mohamad yang juga Menteri Luar berkata setiap individu berhak memilih jalan mereka dan UMNO memilih untuk terus bergerak ke hadapan, fokus membina semula kekuatan parti dan memperjuangkan nasib rakyat.

“UMNO tidak pernah bergantung kepada mana-mana individu. Kita adalah sebuah parti yang dibina atas kekuatan akar umbi, semangat perjuangan dan keyakinan rakyat, bukan pada nama atau kedudukan.

“Orang datang dan pergi, itu lumrah dalam politik. Yang penting, perjuangan ini mesti diteruskan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Mohamad turut mengucapkan terima kasih atas segala sumbangan Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri sepanjang berada dalam kerajaan atas tiket UMNO.

Beliau berkata Tengku Zafrul telah memainkan peranan sebagai teknokrat yang menyumbang dalam bidang ekonomi dan kewangan.

Semalam, Tengku Zafrul menerusi kenyataan di Facebook mengumumkan peletakan jawatannya dalam UMNO serta menyatakan hasrat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).