KUALA LUMPUR: MPIRE Global Bhd melancarkan Program Usahawan bagi Pemilikan Kenderaan Komersial, inisiatif strategik yang memberi sokongan kepada 12,000 pemandu logistik di seluruh Malaysia untuk menjadi pemilik kenderaan komersial, dengan sasaran pembiayaan RM1.2 bilion.

Dalam kenyataan hari ini, katanya program pembiayaan berkenaan diwujudkan untuk menyediakan akses berstruktur pemilikan kenderaan kepada pemandu penghantaran peringkat akhir dan pertengahan.

MPIRE berkata program berkenaan mengintegrasikan pembekalan kenderaan, penyelesaian pembiayaan dan penempatan logistik dalam satu rangka kerja boleh skala di seluruh negara.

Menurutnya program itu direalisasikan melalui kerjasama strategik antara tiga peneraju industri iaitu JAC Auto (Malaysia) Sdn Bhd, Cheongfuli (Malaysia) Sdn Bhd dan Line Clear Express Sdn Bhd.

“JAC akan membekalkan kenderaan berprestasi tinggi yang dioptimumkan untuk operasi penghantaran peringkat akhir dan pertengahan.

“Cheongfuli pula akan menyediakan perkhidmatan dan penyelesaian rantaian bekalan termasuk belanjawan projek atau sumbangan lain yang diperlukan sekali gus memberikan sokongan institusi yang mantap bagi membolehkan pemilikan kenderaan berskala besar dan mampan,” katanya.

Sementara itu, Line Clear akan berperanan sebagai rakan kongsi operasi dan logistik dengan melaksanakan proses suai tugas, melatih dan menempatkan pemandu kepada laluan penghantaran yang menjana pendapatan segera, katanya.

Menurut syarikat, berdasarkan model kewangan yang disasarkan, program berkenaan dijangka menjana perolehan sehingga RM1.69 bilion sekiranya kesemua 12,000 kenderaan digunakan sepenuhnya.

Jumlah ini merangkumi RM1.32 bilion daripada jualan kenderaan (pada harga purata RM110,000 seunit) dan RM374.22 juta pendapatan faedah daripada pembiayaan berstruktur berdasarkan asas pinjaman RM1.2 bilion dengan nisbah pinjaman kepada nilai sebanyak 90 peratus dalam tempoh sewa beli selama tujuh tahun.

Perolehan tambahan dijangka disumbangkan oleh perkhidmatan tambahan seperti perkhidmatan selepas jualan dan penyelenggaraan, tukar beli kenderaan terpakai, insurans, sistem pendudukan global, telematik dan penyelesaian pengurusan kumpulan kenderaan.

Pengerusi Eksekutif MPIRE Datuk Goh Soo Wee berkata program pembiayaan RM1.2 bilion itu adalah antara inisiatif pemerkasaan pemandu yang bermatlamat tinggi pernah dilancarkan dalam industri logistik Malaysia.

Beliau berkata visi syarikat bukan sekadar untuk membekalkan kenderaan malah meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia yang rajin berusaha melalui pemilikan kenderaan yang berstruktur, peluang pendapatan stabil, dan penyertaan dalam ekonomi jangka panjang.

“Dengan melahirkan 12,000 usahawan baharu, kita sedang membina asas bagi ekosistem logistik yang lebih kukuh dan berdaya tahan,” katanya.