GUA MUSANG: Bekalan bakul makanan untuk masyarakat Orang Asli di pedalaman bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) telah diaturkan, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Datuk Sapiah Mohd Nor.

Beliau berkata bantuan itu antaranya barangan seperti beras, bihun, minyak masak, tepung gandum, gula, susu dan biskut untuk seminggu.

“Jadi masyarakat Orang Asli tidak perlu khuatir dengan keperluan bakul makanan kerana JAKOA telah mempunyai peruntukan bagi membantu komuniti yang terjejas dengan bencana atau serangan haiwan liar.

“Sebagai permulaan JAKOA telah menyerahkan bantuan bakul makanan kepada lebih 200 keluarga Orang Asli di Pos Gob yang terkesan dengan jalan rosak kerana hujan lebat ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bakul makanan kepada komuniti itu di Pos Gob, di sini, malam tadi.

Sapiah berkata setiap bakul makanan itu bernilai RM120 untuk satu keluarga dan JAKOA sedang meneliti permohonan penduduk di Kelantan dan Pahang untuk diberi bantuan sebelum MTL bermula.

“JAKOA bekerjasama dengan bomba untuk menghantar bantuan bakul makanan melalui helikopter di kawasan perkampungan pedalaman yang terputus jalan perhubungan akibat hujan,” katanya.