KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata akan memberikan kerjasama penuh kepada polis berhubung ucapannya yang didakwa menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan, baru-baru ini.

Menerusi kenyataan dimuat naik di akaun media sosial hari ini, Muhyiddin berkata beliau percaya kenyataan yang dibuatnya itu tidak melanggar mana-mana undang-undang negara.

“Saya ingin menegaskan bahawa ucapan saya di Nenggiri adalah suatu kenyataan fakta yang tidak bermaksud untuk menghina institusi raja atau menimbulkan kecenderungan menghasut.

“Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjelaskan fakta-fakta berkaitan kenyataan saya,“ kata beliau.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain seperti dilaporkan media hari ini mengesahkan bahawa pihaknya akan merakam keterangan bekas Perdana Menteri itu pagi esok di pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Muhyiddin didakwa mengeluarkan ucapan yang mempertikai tugas dan peranan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Tindakan itu membangkitkan kemurkaan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang bertitah mahu polis mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Ahli Parlimen Pagoh tersebut.

Ucapan Muhyiddin juga menyebabkan polis menerima banyak laporan daripada pelbagai pihak.