KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah mengenakan penalti berjumlah RM2.98 juta terhadap tiga syarikat kerana terlibat dalam aktiviti kartel tipuan bida bagi tender penyelenggaraan di Putrajaya.
Tiga syarikat terbabit ialah Abadi Malaysia Sdn Bhd, Kota Lanskap Sdn Bhd dan Usia Maintenance Sdn Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Datuk Iskandar Ismail berkata, aktiviti kartel tersebut melibatkan enam tender yang dikeluarkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) antara 2018 hingga 2021 dengan nilai hampir RM45 juta.
Kesemua syarikat didapati melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712).
“Siasatan mendapati aktiviti ini dikoordinasikan oleh Abadi Malaysia dengan penyelarasan bida dilakukan melalui WhatsApp, e-mel dan beberapa mesyuarat. Dokumen tender disediakan oleh pekerja ketiga-tiga syarikat di satu lokasi sama,“ jelas Iskandar.
Beliau menambah, semasa serbuan dijalankan, dokumen milik semua syarikat ditemui di premis Kota Lanskap, membuktikan wujudnya penyelarasan pusat dalam penyediaan dokumen tender.
“Usia Maintenance dan Abadi Malaysia masing-masing memenangi dua tender, namun mereka tetap didapati bersalah bagi empat tender lain kerana bukti menunjukkan tingkah laku kartel,“ katanya.
Siasatan turut mendedahkan hubungan kekeluargaan antara pengarah-pengarah syarikat terlibat, namun tiada pegawai PPj yang terlibat dalam aktiviti tersebut.
MyCC kini sedang menyiasat 14 kes lain melibatkan lebih 500 syarikat dengan nilai tender mencecah RM2.3 bilion.
“Semua pemain pasaran perlu mengambil iktibar dan mengamalkan perniagaan beretika. Persaingan harus berdasarkan merit, bukan pakatan sulit,“ tegas Iskandar. – Bernama