• 2023-01-05 05:02 PM

IPOH: Kerajaan negeri sedang menunggu laporan penuh daripada pihak berkaitan termasuk Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) dan Pesuruhjaya Sukan (PJS) berhubung insiden seorang penonton maut di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah, Sabtu lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pihaknya mahu memastikan penganjur mempunyai kelulusan memandangkan sukan itu berisiko tinggi untuk berlaku kemalangan dan sepatutnya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang ketat.

Beliau berkata jika pihak penganjur mempunyai kebenaran daripada PJS, antara perkara yang perlu dipatuhi bagi permohonan acara sukan itu ialah maklumat penganjur yang mestilah datang daripada badan yang sah atau berdaftar, serta perlu mempunyai pengesahan sokongan daripada badan pengelola sukan.

“Badan sukan yang bertanggungjawab adalah MAM, jadi semasa mereka membuat kejohanan itu mesti ada pengesahan sokongan daripada MAM, pemilik lokasi, permit pihak penguat kuasa serta insurans peserta.

“Saya maklumkan tadi jika mereka mempunyai kebenaran secara sah sudah pasti ia dapat mengelakkan sebarang potensi untuk berlaku kemalangan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Insentif Kepada Kontinjen Para Sukan Malaysia (SUKMA) XX di sini hari ini.

Saarani menegaskan bahawa mana-mana individu yang tidak berkenaan seperti juruteknik dan marshal (pengawal bertugas) tidak boleh berada dalam kawasan yang berpotensi kemalangan seperti trek perlumbaan kerana ia berisiko dan boleh menyebabkan berlakunya perkara yang tidak diingini.

Pada kira-kira 3.30 petang 31 Dis lepas, Muhammad Amir Mohd Yusoff, 32, maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika menyaksikan pertandingan ‘CCT Battle of Champion’ di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah.

Kejadian itu dipercayai berpunca akibat dua buah kereta hilang kawalan selepas bergesel sesama sendiri sebelum salah sebuah kereta terbabit terbabas ke kanan litar lalu memasuki kawasan berumput dan melanggar seorang penonton yang berada dalam jarak sembilan meter dari laluan litar.

Sementara itu, mengulas dakwaan berlaku aktiviti pembersihan tanah melebihi 200 hektar yang dijalankan di Hutan Simpan Kledang Saiong, Saarani berkata kawasan berkenaan terletak di luar hutan simpan itu berdasarkan pemeriksaan secara menyeluruh daripada pasukan Unit Tindakan Khas Pejabat Hutan Daerah Kuala Kangsar.

“Berpandukan kepada bacaan koordinat, sebenarnya ia adalah kawasan tanah bermilik yang mana kawasan tersebut berada di luar kawasan Hutan Simpan Kledang Saiong,” katanya. - Bernama