• 2025-06-24 08:38 PM

PUTRAJAYA: Nama Kota MADANI bagi pembangunan kuarters kerajaan di Presint 19 akan dikekalkan sebagai identiti utama pembangunan perumahan dan bandar moden, selaras dengan aspirasi semasa kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata Kota MADANI bukan sekadar mencerminkan pentadbiran semasa, sebaliknya merupakan konsep menyeluruh yang berteraskan visi Malaysia MADANI dan pendekatan CHASE iaitu bersih, sihat, maju, selamat dan mesra alam.

“Nama ini bukan berkait dengan perubahan kerajaan seperti yang didakwa sesetengah pihak. Apa yang lebih penting adalah konsep menyeluruh yang dibawa, yang menjangkaui tempoh sesebuah pentadbiran.

Ia bukan hanya cerminan kerajaan hari ini, tetapi lebih kepada nilai dan falsafah pembangunan yang diketengahkan melalui konsep MADANI,“ katanya kepada media pada sesi taklimat Kota MADANI di sini hari ini.

Beliau berkata kejayaan pelaksanaan konsep itu di Putrajaya diharap menjadi model pembangunan bagi wilayah serta bandar lain di seluruh negara.

Dr Zaliha turut menyeru semua pihak memainkan peranan menyampaikan aspirasi dan makna pembangunan Kota MADANI kepada rakyat, yang bukan semata-mata projek fizikal, sebaliknya membawa agenda kesejahteraan menyeluruh.

“Bandar seperti Kuala Lumpur sudah lama terbina dan sukar untuk dilaksanakan pembangunan yang benar-benar komprehensif dan inklusif. Maka sebab itu kita tampil dengan konsep baharu ini.

Insya-Allah, pembangunan akan datang akan mengambil pendekatan ini kerana ia bersifat menyeluruh dan memberi pelbagai manfaat kepada rakyat,“ katanya.

Dengan keluasan 41.28 hektar, Kota MADANI bakal menempatkan 10,000 unit kuarters kediaman berintensiti tinggi yang mampu menampung lebih 30,000 penduduk. Pembangunan itu turut dirangka dengan integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital cekap dan sistem mobiliti hijau.

Fasa pertama pembangunan dijangka bermula September ini, melibatkan pembinaan 3,000 unit kediaman serta sebuah sekolah menegak yang dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir 2027.

Majlis pecah tanah Kota MADANI dijadualkan berlangsung Khamis ini.