KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri hari ini meminta semua pihak untuk berani bersuara menentang gangguan seksual demi mempertahankan maruah serta keselamatan masyarakat.
Beliau berkata demikian susulan satu video tular baru-baru ini melibatkan seorang pemandu e-panggilan yang meminta seorang remaja perempuan berusia 15 tahun untuk membuka tudung dipakainya sewaktu menggunakan khidmat pemanduan itu pulang ke rumahnya.
“Kepada remaja di luar sana, jangan berdiam diri. Anda berhak untuk bertindak demi keselamatan dan maruah diri. Pada masa yang sama, saya komited untuk memperkasakan keadilan melalui pelaksanaan penuh Tribunal di bawah Akta Gangguan Seksual,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nancy berkata beliau difahamkan bapa mangsa telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan hal berkenaan mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap isu gangguan seksual yang tidak boleh dipandang ringan.
“Apabila berlaku kes gangguan seksual, masyarakat meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pihak polis untuk bertindak dengan adil dan segera,“ katanya.