KUANTAN: Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot di perairan Pulau Tioman, dekat Rompin Selasa lepas.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata mangsa Heng Jooi Hwa, 58, dikatakan terjatuh dari bot nelayan yang dilantik syarikat bagi memastikan tiada nelayan lain melalui kawasan terbabit, semasa proses mencari gali minyak dan gas di perairan Pulau Tioman.

“Mangsa berasal dari Endau, Johor dilihat kali terakhir pada 7 malam hari kejadian ialah seorang daripada kru bot dan selepas menyedari dia tiada di dalam bot, semua kru membuat pencarian, namun gagal dijumpai.

“Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Op CARILAMAT) pukul 9.15 pagi semalam dan Kapal Maritim (KM) RENTAP diatur gerak sejurus menerima maklumat daripada pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pengadu merupakan pemilik bot yang dilantik RAMFORM SOVEREIGN iaitu vendor yang dilantik PETRONAS Sdn Bhd melalui syarikat PGS bagi melaksanakan operasi mencari gali minyak dan gas.

Mazlan berkata usaha mencari mangsa diteruskan hari ini yang turut disertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta sembilan bot nelayan tempatan di bawah naungan RAMFORM SOVEREIGN meliputi keluasan kira-kira 177 batu nautika persegi.

“Keadaan cuaca di sektor pencarian dilaporkan kurang baik dengan kelajuan angin 30 hingga 40 kilometer sejam dan laut berombak 1.5 hingga 2.5 meter, bagaimanapun aset terlibat akan terus melaksanakan pencarian di sektor yang telah diberikan,” katanya.