MELAKA: Nisbah katil hospital kepada 1,000 penduduk di Melaka adalah 2.21 iaitu lebih baik berbanding purata nisbah peringkat kebangsaan 2.01 bagi jumlah sama.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata sehingga Oktober, Melaka mempunyai 2,212 katil membabitkan hospital kerajaan dan swasta.
“Antara langkah-langkah bagi menambah bilangan katil di hospital termasuklah Hospital Melaka menerima sumbangan wad dengan kapasiti 42 katil oleh MERCY Malaysia menerusi Maybank pada 18 Okt 2023, menjadikan jumlah katil operasi keseluruhan di pusat perubatan tersebut kepada 1,143 unit.
“Selain itu, pengoperasian Hospital Kluster Melaka membabitkan perkongsian penggunaan sumber manusia dan peralatan perubatan dari ketiga-tiga hospital Kementerian Kesihatan (KKM) di negeri ini, iaitu pesakit-pesakit boleh dipindahkan ke fasiliti yang ada kekosongan katil jika keadaan memerlukan,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Leng Chau Yen (PH-Bandar Hilir) yang mahu tahu mengenai kekurangan katil di Hopital Melaka dan langkah kerajaan negeri untuk mengatasinya.
Ngwe (BN-Machap Jaya) berkata Hospital Melaka juga meningkatkan kecekapan pengurusan katil dengan mewujudkan Unit Pengurusan Katil (BMU) bagi membolehkan kes-kes di wad discaj lebih lancar dan memendekkan tempoh pesakit masuk ke wad.
Selain itu, beliau berkata pembinaan Pusat Wanita dan Kanak-Kanak di Hospital Melaka telah mendapat kelulusan dan kerja-kerja awalan telah selesai justeru akan meningkatkan kapasiti dengan tambahan 476 katil.
Kerajaan negeri juga katanya sentiasa berhubung terus dengan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka bagi membincangkan isu-isu berkaitan dan pihak Hospital Melaka sentiasa memantau status penggunaan katil menerusi papan pemuka sistem dalam talian Sistem Maklumat Hospital (HIS@KKM) dan Medical Program Information System (MPIS).
“Sehingga 8 Nov 2023, tiada sebarang aduan rasmi diterima oleh Hospital Melaka berhubung kekurangan katil, bagaimanapun, dari semasa ke semasa jika ada tempoh menunggu yang panjang untuk masuk ke wad, pihak hospital akan mengambil tindakan yang sewajarnya.
“Selanjutnya, rawatan pesakit tersebut masih diteruskan di Jabatan Kecemasan dan Trauma oleh pakar berkaitan sementara menunggu kemasukan ke wad,” katanya.–Bernama