ALOR SETAR: Polis sedang memburu seorang lelaki Orang Kena Tuduh yang berjaya meloloskan diri selepas terjun dari tingkat dua bangunan Mahkamah Langkawi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Samsulmuddin Sulaiman berkata kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11.35 pagi.
Suspek yang dikenali sebagai Abas Saari berusia 22 tahun itu terjun sebaik dibawa keluar dari bilik mahkamah selepas prosiding kes narkotik tamat.
“Ketika kejadian, suspek yang memakai baju-T berwarna putih dan berseluar pendek oren itu berada dalam keadaan tidak bergari,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau memaklumkan bahawa kes ini disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.
Polis kini giat mengesan suspek yang masih lagi bebas.
Samsulmuddin meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi.
Mereka boleh menelefon talian 04-9663999 atau datang ke balai polis berdekatan. – Bernama