Your Title

PUTRAJAYA: Tiga selebriti, termasuk penyanyi terkenal tanah air selesai memberi keterangan kira-kira lima jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan.

Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna putih dipercayai membawa penyanyi terkenal tanah air, dilihat meninggalkan pekarangan bangunan ibu pejabat SPRM pada 3 petang.

Bagaimanapun, usaha petugas media mendapatkan kenyataan penyanyi itu tidak berhasil.

Menurut sumber, dua lagi selebriti juga selesai memberikan keterangan dan telah meninggalkan pekarangan bangunan ibu pejabat SPRM secara berasingan.

Sumber turut memaklumkan kesemua selebriti tersebut hadir bagi memberikan keterangan pada 9.30 pagi tadi.

Terdahulu pada sidang media, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan tiga selebriti termasuk penyanyi terkenal telah hadir memberi keterangan kepada SPRM, bagi membantu siasatan dalam pelbagai aspek penyiasatan.

Sebelum ini, Azam dilaporkan berkata siasatan mendapati selebriti dan artis terbabit menerima wang bayaran hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat itu bagi tujuan promosi.

SPRM, dalam operasi baru-baru ini menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram yang membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan, melalui Op Sky.

Operasi Op Sky yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM), berjaya menahan 12 individu dalam serbuan di 24 lokasi termasuk kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada Isnin.

Setakat ini, 27 individu ditahan termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan terbabit serta seorang orang awam. Kesemua mereka telah dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Dalam operasi tersebut, SPRM merampas kira-kira 4,000 dokumen dan membekukan 98 akaun bank yang melibatkan lebih RM17 juta.