MIRI: Pasukan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) melumpuhkan rangkaian sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok serta minuman keras tidak berkastam melalui Op Taring Alpha 1 dan 2 di sini semalam.

Dalam serbuan pertama di sebuah premis di Desa Senadin Commercial Centre pada 7 petang, sepasukan pegawai polis menahan seorang lelaki warga Indonesia dan merampas 311 peti mengandungi minuman keras pelbagai jenis, 192 botol wiski dan 305 karton rokok pelbagai jenis.

“Sementara itu, dalam serbuan kedua di bandar ini yang dilakukan pada 7.15 malam, seorang lelaki tempatan ditahan selain 120 peti minuman keras pelbagai jenis, 24 botol wiski, 221 karton rokok putih pelbagai jenis serta 41 karton rokok kretek dirampas,” menurut agensi itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jumlah keseluruhan nilai rampasan daripada kedua-dua serbuan itu mencecah RM 1.2 juta dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.