BUKIT MERTAJAM: Polis Pulau Pinang memberi tumpuan di lapan kawasan yang kerap berlaku kemalangan dan kesesakan bagi memastikan kelancaran serta keselamatan trafik sepanjang Op Selamat 24 sempena Hari Raya Aidilfitri 2025.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata objektif utama Op Selamat selama enam hari bermula esok hingga 3 Mac itu bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan mengurangkan kemalangan serta kesesakan dengan tindakan penyuraian di laluan-laluan utama.
“Kita telah kenal pasti lapan lokasi iaitu Jalan Teluk Air Tawar-Jalan Bagan Luar, Jalan Perusahaan Feri-Jalan Kulim, Jalan Besar Simpang Ampat, Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, Jalan Air Jtam-Paya Terubong, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Dr Awang dan sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan di negeri ini.
“Kita buat pemantauan lebih rapi di lapan kawasan berkenaan termasuk meletakkan “check point” polis dan rondaan berkala bagi memastikan kelancaran lalu lintas, bukan sahaja pegawai dan anggota trafik sahaja namun Unit Rondaan Motosikal bagi membantu sepanjang Op Selamat,“ katanya kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Advokasi Op Selamat 24 sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kontinjen Pulau Pinang di Plaza Tol Juru hala utara di sini hari ini.
Beliau memaklumkan pihaknya juga akan mengambil tindakan penguatkuasaan serta merta terhadap mereka yang melakukan enam kesalahan utama iaitu memandu laju, menggunakan telefon bimbit, potong garisan berkembar, menggunakan lorong kecemasan, tidak mematuhi lampu isyarat dan potong garisan.
Mohd Alwi menganggarkan sepanjang Op Selamat kali ini sebanyak 2.6 juta kenderaan masuk melalui Pulau Pinang.
Sebanyak 777 kes kemalangan direkodkan semasa Op Selamat tahun lepas manakala pada 2023 sejumlah 681 kes.