KUANTAN: Malang tidak berbau. Itu peringatan oleh Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Kol (PA) Che Adam A Rahman supaya orang ramai mengelakkan aktiviti di pinggir pantai meskipun cuaca semakin baik di beberapa lokasi di negeri itu.

Beliau berkata masyarakat juga diingatkan supaya sentiasa berwaspada kerana cuaca sering berubah dan Pahang masih lagi dalam fasa Monsun Timur Laut (MTL).

“APM nasihatkan pengunjung atau orang awam tidak adakan aktiviti di pinggir pantai, kalau jarak jauh boleh... tetapi bukan bermain di pinggir pantai kerana ada masyarakat yang ambil peluang meluncur dan sebagainya.

“Kami ingatkan untuk tidak berbuat demikian sebab musim sekarang keadaan laut bergelora, meskipun mungkin mereka profesional kita bimbang sekiranya sesuatu tidak diingini berlaku,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Che Adam berkata pasukan penyelamat pantai APM masih bertugas memantau keselamatan pengunjung di lokasi ditetapkan dan amaran bendera merah juga berkuat kuasa sehingga kini.

“APM sememangnya melakukan rondaan berkala melibatkan lima hingga enam anggota di kawasan ditetapkan selain memantau menerusi menara penyelamat pantai,” katanya.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), MTL yang bermula pada 11 Nov lepas berterusan hingga Mac 2024, dengan episod hujan lebat berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak semasa fasa awal MTL dari Nov 2023 hingga Januari ini.–Bernama