• 2025-09-07 02:53 PM

KOTA BHARU: Jabatan Peguam Negara menasihatkan orang ramai supaya menghormati proses keadilan yang sedang dijalankan termasuk dalam prosiding inkues Zara Qairina Mahathir.

Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata pihaknya memandang serius sebarang bentuk ugutan atau komen yang boleh mengganggu saksi seperti dialami pakar patologi Dr Jessie Hiu.

“Kami tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu proses keadilan termasuk mengugut saksi,“ katanya.

AGC memandang serius ugutan yang diterima Dr Jessie Hiu kerana keterangannya amat penting bagi membantu Mahkamah Koroner mencapai keputusan yang adil.

Sebarang ugutan, perbuatan negatif atau tingkah laku yang boleh mengancam keselamatan saksi tidak boleh dipandang ringan.

Terdahulu, polis menahan seorang lelaki berusia 61 tahun di Semporna kerana disyaki mengugut pakar patologi yang terlibat dalam inkues berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata tangkapan itu dibuat susulan laporan polis yang dikemukakan Dr Jessie berhubung ugutan diterimanya.

Mohd Dusuki berkata siasatan kes berkenaan perlu dipercepatkan dan sekiranya terbukti wujud elemen ugutan, tindakan tegas akan diambil.

“Kesabaran diperlukan kerana inkues ini dilaksanakan untuk memastikan keadilan kepada semua pihak termasuk mangsa dan keluarga mangsa,“ katanya.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas dimasukkan ke hospital sehari sebelumnya.

Pada majlis itu, Mohd Dusuki turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi naik taraf Sekolah Kebangsaan Long Gafar. – Bernama