KUANTAN: Sebanyak 1,588 jemaah haji Pahang menerima sumbangan ‘duit poket’ berjumlah RM750 seorang bagi membantu meringankan beban bakal haji dalam melakukan persiapan melaksanakan rukun Islam kelima itu.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata sumbangan ini merupakan tahun kedua dilaksanakan dan dikenali sebagai Bantuan Haji Negeri Pahang yang kini dijenamakan sebagai Barakah Haji Pahang membabitkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta.

“Bantuan haji seperti ini hanya di Pahang sahaja setakat ini. Pada 2023 setiap jemaah haji negeri ini menerima sumbangan RM500 seorang, tetapi pada tahun ini kerajaan negeri menambah RM250 lagi menjadikannya RM750.

“Insya-Allah, sumbangan ini akan diteruskan untuk tahun akan datang dan sekiranya kedudukan kewangan kerajaan negeri bertambah baik mungkin kita akan kaji semula dan tambah, tetapi bukannya dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Perdana Haji dan Penyampaian Bantuan Haji Negeri Pahang Tahun 1445 Hijrah / 2024 Masihi di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini hari ini.

Selain sumbangan wang tunai, beliau berkata kerajaan negeri turut membekalkan pek makanan juadah makmur iaitu makanan sedia dimakan sebanyak empat pek bagi setiap jemaah membabitkan peruntukan RM112,000.

Ketika ditanya mengenai kuota jemaah haji, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri mengharapkan kuota yang diperuntukkan kepada Pahang dapat dipertimbangkan untuk ditingkatkan pada masa akan datang sekiranya Malaysia diberi penambahan kuota.

“Kerajaan Persekutuan berusaha setiap tahun untuk meningkatkan kuota ini dan andainya berlaku pertambahan (pada masa akan datang), Pahang mengharapkan kuota yang diberikan untuk negeri ini dapat dipertingkatkan juga.

“Buat masa ini, Tabung Haji meletakkan kuota untuk jemaah haji di negeri ini adalah 2,000 jemaah. Sekiranya ada penambahan, (mungkin boleh dipertimbangkan) 2,500 jemaah tak kiralah apa jumlah sekali pun,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri turut bersetuju menyerahkan Bantuan Makanan Bermasak Asrama bagi empat buah Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dengan kos keseluruhan RM1.43 juta.

Sementara itu, pekerja swasta, Norlela Samat, 51, yang akan menunaikan haji bersama suami Mohd Noh Abidin, 52, dan anaknya Irfan hamdani Mohd Noh, 16, bersyukur kerana terpilih untuk mengerjakan ibadah tersebut tahun ini bersama keluarga.

“Saya dan suami mendapat tawaran untuk menunaikan ibadah haji pada Januari dan kami terus buat rayuan untuk membolehkan anak tunggal kami turut serta. Syukur rayuan berjaya dan bantuan yang diperoleh daripada kerajaan negeri hari ini, sedikit sebanyak dapat membantu persiapan kami sekeluarga,” katanya yang menetap di Bukit Tinggi, Bentong.