Your Title

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu berhati-hati memposisikan kedudukan negara dalam hubungan dua hala dengan negara luar susulan faktor geopolitik dunia yang semakin kompleks, demikian Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Sehubungan itu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata setiap jemputan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara luar termasuk Rusia, perlu dirancang dan diteliti dengan baik.

“Ini kerana lawatan rasmi ialah isyarat kepada penghormatan hubungan dua hala Malaysia dengan negara asing. Malaysia mahu memposisikan negara sebagai the middle state serta tidak dilihat condong kepada mana-mana pihak kerana dasar luar Malaysia bukan sahaja berasaskan hubungan diplomatik tetapi juga hubungan perdagangan.

“Jemputan memang banyak, (tapi) tak semua jemputan kita kena pergi...kita perlu berhati-hati. Kita tidak mahu terjerumus dengan politik dunia yang lebih kompleks yang mungkin memberi masalah kepada hubungan kita dengan negara lain,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai bilakah Perdana Menteri akan mengadakan lawatan rasmi bertemu Presiden Rusia Vladimir Putin.

Sementara itu, Mohamad berkata hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) adalah untuk memastikan negara tidak menyumbang kepada suasana unipolar world (keadaan majoriti dunia dikawal suatu kuasa dari segi ekonomi, pertahanan dan pengaruh budaya).

“BRICS merupakan asas landasan untuk kita melihat dunia terlalu condong kepada mana-mana pihak atau diuruskan satu pihak sahaja. BRICS satu gabungan negara besar, suatu blok longgar dan boleh membawa suara kita supaya Malaysia boleh bersuara di banyak pentas,” katanya.