Your Title

KOTA BHARU: Keseluruhan bahagian atas Pasar Besar Kuala Krai, yang terletak kira-kira 60 Kilometer dari sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata bomba menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 1.21 pagi tadi.

Susulan itu, seramai 25 anggota dari BBP Sungai Durian, BBP Machang dan BBP Tanah Merah bersama lima jentera bomba, digerakkan ke lokasi kejadian untuk memadam api.

“Setibanya di lokasi kejadian, pihak bomba mendapati bahagian atas pasar besar itu telah terbakar sebanyak 80 peratus, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

“Tindakan pantas bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke tingkat bawah bangunan, dan api dapat dikawal pada 2.06 pagi tadi,“ katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 3.42 pagi tadi, sementara jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.