• 2025-07-30 06:03 PM

PASIR MAS: Jajahan Pasir Mas akan dijadikan projek rintis Jihad Perangi Dadah pada tahun ini dengan melibatkan penyertaan masyarakat setempat, khususnya penghulu kampung bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK).

Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kelantan Zamakhshari Muhamad berkata inisiatif itu dilaksanakan selepas pihaknya mendapati penghulu kampung dan pemimpin masyarakat setempat berasa bimbang untuk melaporkan kes dadah di kawasan mereka kerana faktor keselamatan.

“Kita akan jadikan Pasir Mas sebagai projek rintis bagi melaksanakan Jihad Perangi Dadah dengan kerjasama pimpinan masyarakat, PDRM dan AADK. Kebanyakan mereka sebelum ini tidak berani membuat laporan polis kerana khuatir keselamatan.”

“Dengan adanya projek rintis ini, kita akan memperkenalkan kaedah supaya pemimpin setempat dapat menyalurkan laporan mengenai kegiatan dadah di peringkat kampung. Kita akan mula di Pasir Mas tahun ini sebelum diperluas ke daerah lain,“ katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zamakhshari yang juga Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Kelantan berkata PEMADAM kini giat melaksanakan kempen kesedaran bersama AADK untuk membanteras penularan penyalahgunaan dadah.

“Kita juga mengalu-alukan usaha pihak berkuasa, terutamanya PDRM dalam mengurangkan kemasukan bekalan dadah ke negeri ini secara berterusan, termasuk melalui kawalan di pintu sempadan dan tangkapan yang dijalankan.”

“Kita lihat tangkapan yang membabitkan ‘jerung’ dadah memberi kesan kepada pengedar peringkat bawah, termasuk di kampung. Kita ucapkan tahniah dan berharap usaha penguatkuasaan ini dapat diteruskan,“ katanya.

Beliau berkata fokus PEMADAM sekarang ialah menjalankan kempen secara bersepadu bersama masyarakat, supaya kita dapat berganding bahu sebagai satu pasukan dan berharap kes dadah serta bekalan ke negeri ini dapat dikurangkan dari semasa ke semasa.

Media sebelum ini melaporkan Kelantan mencatatkan kadar penyalahgunaan dadah tertinggi di negara ini, dengan statistik 1,130 kes bagi setiap 100,000 penduduk. Angka itu meletakkan Kelantan di tangga pertama, diikuti Perlis (965 kes), Terengganu (914 kes) dan Kedah (898 kes). - Bernama