SEREMBAN: Seorang pegawai bank wanita mengalami kerugian besar sebanyak RM6.65 juta selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan saham dalam talian.
Kejadian penipuan ini berlaku dalam tempoh hampir dua bulan dari 3 Ogos hingga 1 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohammad Hatta Che Din mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai insiden tersebut pada Rabu lepas.
Beliau mendedahkan modus operandi sindiket tersebut adalah menawarkan pelaburan saham melalui sebuah aplikasi yang dimuat turun daripada platform dalam talian.
“Mangsa membuat pembelian saham dalam aplikasi tersebut sebelum melakukan 129 transaksi pembayaran antara 3 Ogos hingga 1 Okt lepas yang membabitkan jumlah keseluruhan kerugian RM6,655,000,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohammad Hatta menasihati orang ramai agar tidak mudah terperdaya dengan tawaran pelaburan dalam talian yang mencurigakan.
Beliau turut menyarankan orang ramai membuat semakan terlebih dahulu mengenai status pelaburan dengan Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – Bernama