KUALA TERENGGANU: Pegawai eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan reman selama enam hari kerana disyaki menyalahgunakan jawatannya untuk menyokong pelantikan syarikat milik suaminya dalam mendapatkan kontrak pembekalan pekerja berjumlah RM1.4 juta.

Perintah reman hingga 15 Sept terhadap wanita berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia (SPRM) Terengganu hari ini.

Menurut sumber, suspek disyaki bersubahat dengan seorang lagi wanita yang juga pemilik syarikat berusia lingkungan 50 tahun.

Kedua-dua wanita terbabit ditahan antara 2.30 hingga 3.50 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Terengganu, namun pemilik syarikat itu dibebaskan dengan jaminan SPRM.

“Suspek utama dipercayai menjalankan perbuatan itu pada 2019 dengan menggunakan jawatannya bagi mencadang dan menyokong syarikat milik suaminya untuk mendapatkan kontrak pembekalan pekerja bernilai RM1.4 juta.

“Suspek juga dipercayai bersubahat dengan suspek kedua dalam mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan ujian saringan COVID-19 berjumlah kira-kira RM2,000 pada dua tahun lepas sedangkan ujian itu tidak dilaksanakan,” katanya.

Sumber berkata suspek utama juga disyaki bersubahat mengemukakan dokumen palsu membabitkan pembekalan barangan plastik sebanyak RM2,000 yang juga tidak dibekalkan pada tahun lepas.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 23 dan 18 Akta SPRM 2009.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dilakukan.