• 2025-07-07 08:20 PM

KUALA LUMPUR: Pelaburan digital di bawah inisiatif Digital Malaysia mencatat lonjakan 125 peratus kepada RM29.49 bilion pada suku kedua 2025 berbanding RM13.11 bilion pada suku pertama tahun sama.

Pertumbuhan ini didorong oleh sentimen pasaran yang positif serta keyakinan pelabur terhadap ekosistem digital negara.

Menurut Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), ekonomi digital Malaysia terus menunjukkan prestasi kukuh dengan 261 syarikat diluluskan di bawah inisiatif Digital Malaysia setakat Jun 2025.

Syarikat-syarikat ini komited melabur RM42.58 bilion dan berpotensi mencipta 17,495 pekerjaan berpengetahuan dalam tempoh lima tahun.

Pelabur dari Singapura mendominasi dengan sumbangan RM13.91 bilion (33 peratus jumlah pelaburan), diikuti Amerika Syarikat (RM6.44 bilion) dan China (RM2.97 bilion).

Sektor pusat data dan awan menjadi penyumbang utama, meraih RM30.95 bilion pelaburan dan dijangka menjana 1,440 pekerjaan berikutan permintaan tinggi terhadap infrastruktur data serantau.

Menteri Digital Gobind Singh Deo menyifatkan pertumbuhan ini sebagai petanda positif kesediaan digital Malaysia serta keyakinan pelabur global.

Beliau menekankan bahawa pelaburan ini bukan sahaja meningkatkan ekonomi digital tetapi turut membuka ribuan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan. - Bernama