KOTA KINABALU: Seorang pelajar sekolah menengah ditemukan lemas ketika mandi-manda bersama 19 rakan sekolahnya di tasik berdekatan Residensi Menggatal di sini hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan Hazwi Danial A Rashid, 14, ditemukan pasukan bomba pada 2.48 petang tadi di dasar tasik pada kedalaman kira-kira 3 meter.

Menurut kenyataan itu pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian pada 12.51 tengah hari mendapati seorang lagi pelajar Adi Iskandar Abdullah, 14, turut tenggelam tetapi berjaya diselamatkan dan diberikan bantuan awal pernafasan kecemasan (CPR) oleh rakan mereka yang lain.

“Bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kawasan tepi serta permukaan tasik sebelum menemukan mangsa di kedalaman kira-kira 3 meter.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.