• 2025-09-03 01:54 PM

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan sistem e-Invois oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) merupakan pendekatan digital untuk merekod transaksi secara telus dan moden.

Pengarah Bahagian e-Invois, Sektor Operasi Cukai HASiL Dr Rasyidah Che Rosli berkata langkah itu selaras dengan hasrat kerajaan mendigitalkan ekosistem perniagaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

“Kalau dulu ada yang masih tulis tangan, ada juga yang berniaga bertahun-tahun tanpa simpan rekod,” katanya ketika menjadi tetamu program POV: Perspektif Bukan Persepsi di Bernama Radio.

Beliau menyatakan HASiL menyediakan dua platform percuma iaitu Portal MyInvois dan Sistem MyInvois e-POS bagi memudahkan pembayar cukai melaksanakan e-Invois.

Portal MyInvois sesuai untuk perniagaan dengan pelanggan majoriti perniagaan lain manakala Sistem MyInvois e-POS praktikal untuk perniagaan dengan transaksi tinggi seperti kedai runcit.

Sistem e-POS membolehkan penjual mengimbas barang, menerima bayaran dan mengeluarkan resit dengan kod QR untuk penjanaan automatik e-Invois.

Sistem ini hanya ditawarkan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang memenuhi syarat tertentu termasuk jualan tahunan di bawah 750,000 ringgit.

Fasa ketiga pelaksanaan e-Invois bermula 1 Julai lepas melibatkan pembayar cukai berpendapatan antara 5 juta hingga 25 juta ringgit.

Dua fasa baharu akan diperkenalkan iaitu fasa keempat untuk pendapatan antara 1 juta hingga 5 juta ringgit dan fasa kelima bagi pendapatan sehingga 1 juta ringgit.

Kerajaan telah menaikkan ambang jualan wajib e-Invois daripada 150,000 ringgit kepada 500,000 ringgit bermakna peniaga dengan jualan tahunan di bawah jumlah itu dikecualikan.

Mereka digalakkan menggunakan sistem ini secara sukarela untuk pengurusan rekod lebih baik serta membuka peluang akses pembiayaan perniagaan.

Bagi perniagaan dalam talian, e-Invois tidak membebankan kerana urusan dikendalikan oleh platform e-dagang itu sendiri.

Peniaga yang berniaga melalui platform luar negara perlu mengeluarkan e-Invois sendiri kerana penyedia platform tersebut belum tertakluk kepada pelaksanaan e-Invois di Malaysia.

Sistem e-Invois dibangunkan mengikut Dasar Keselamatan ICT HASiL serta garis panduan kerajaan berhubung keselamatan maklumat awan.

Ciri keselamatan termasuk enkripsi, pengesahan, firewall dan kawalan capaian turut dilaksanakan untuk menjamin keselamatan data.

Security Posture Assessment dijalankan secara berkala dengan pihak ketiga selain kerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber Negara dan Majlis Keselamatan Negara.

Data pembeli dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 untuk memastikan privasi pengguna terpelihara.

HASiL menyediakan pelbagai saluran bantuan termasuk laman mikro khas di www.hasil.gov.my/e-invois untuk sokongan pembayar cukai.

Kaunter perkhidmatan e-Invois tersedia di semua pejabat HASiL seluruh negara bagi bantuan secara bersemuka.

Meja Bantuan e-Invois di talian 03-8682 8000 beroperasi 24 jam tujuh hari seminggu untuk kemudahan pengguna. – Bernama