TELUK INTAN: Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung yang dilakukan di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan satu langkah berani, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata kerajaan telah mengambil kira pelbagai aspek untuk meminimumkan impak tekanan hidup rakyat sebelum memutuskan untuk melaksanakan langkah itu.

“Jika kerajaan tidak melaksanakan subsidi bersasar, maka ketirisan akan terus berlaku malah semakin hari semakin serius. Adalah sangat penting untuk kita memperbetulkan kesilapan pada masa silam.

“Kerajaan MADANI memilih untuk mengambil sikap dengan penuh tanggungjawab bagi menjamin kelangsungan masa depan negara. Pelaksanaan ini juga dapat menjimatkan RM4 bilion setahun seterusnya dapat digunakan untuk faedah rakyat,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Nga yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan menyerahkan bantuan RM1,000 kepada 240 murid kurang berkemampuan daripada 11 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di kawasan parlimen berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam tadi mengumumkan bahawa Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi ke atas diesel bagi pengguna di Semenanjung melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah sistem kawalan diesel bersubsidi.

Anwar berkata perkara itu bermaksud pengusaha bas, teksi dan nelayan akan terus dipelihara dengan subsidi atau bantuan serta kerajaan bersetuju menyediakan bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan diesel yang layak termasuk petani kecil, pesawah dan peniaga kecil.

Menurut Perdana Menteri penyasaran subsidi diesel itu tidak melibatkan golongan T20 serta 3.8 juta warga asing, sekali gus memberi penjimatan kepada kerajaan secara kasar kira-kira RM4 bilion setahun, iaitu yang pernah dinikmati kumpulan berkenaan sebelum ini.