KUALA LUMPUR: Kelihatan kacak menggayakan songket dan bertanjak, atlet pecut muda negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi hari ini diberi kepercayaan memimpin bacaan ikrar Rukun Negara untuk ribuan Keluarga Malaysia yang hadir ke acara sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka.
Suara Azeem, yang ditemani oleh 65 pelajar daripada Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur turut bergema melaungkan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali di lokasi bersejarah itu.
Berkongsi peranannya memimpin bacaan ikrar kali ini dan penglibatannya secara langsung dalam sambutan hari bersejarah negara itu, Azeem berkata sambutan luar biasa Hari Kebangsaan tahun ini adalah satu indikasi positif terhadap keteguhan bersama Keluarga Malaysia.
“Sambutan hari ini begitu positif dengan ramainya orang sanggup bangun awal untuk datang melihat sambutan hari ini, jadi saya rasa rakyat Malaysia patut teruskan semangat macam ini supaya kita sama-sama jadi rakyat yang dapat menyumbang kepada negara,“ katanya kepada Bernama.
Atlet kelahiran Perak itu telah mencatat pencapaian luar biasa apabila berjaya memecah rekod kebangsaan acara 100 meter (m) dengan catatan 10.09 saat di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia mengatasi rekod milik Khairul Hafiz Jantan (10.18 saat).
Seorang pelajar institusi itu, Muhammad Sukrey Mohd Zim, 21, yang pertama kali menyertai acara seperti itu meluahkan rasa bangga kerana dapat terlibat sama dalam bacaan ikrar dan laungan merdeka pimpinan Azeem.
Beliau yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan sejak kecil dan sangat bersemangat ketika ditemu bual Bernama berkata beliau bangun seawal 4 pagi untuk menepati jadual ditetapkan bagi memastikan perjalanan acara lancar.
“Saya sangat bangga sebab dah dua tahun kita tak sambut, jadi hari ini kita dapat rasa kemeriahan itu. Ini melambangkan semangat kita, baca ikrar tu kira tak semua orang akan dapat peluang untuk baca ikrar untuk sambutan Hari Kebangsaan kita,“ katanya.
Bagi Danisha Theevaheran, 20, pula, sambutan besar-besaran pada tahun ini bukan sahaja dapat memberi peluang kepada pelajar sepertinya melibatkan diri dalam acara kebangsaan tetapi juga dapat membawa Keluarga Malaysia untuk bersama-sama merasakan kemeriahan Hari Kebangsaan.
“Jika ingin dibandingkan dengan sambutan terdahulu (dua tahun lepas), ramai yang tak dapat sertai dan merasakan sendiri kemeriahan itu, tapi sekarang semua dah boleh sertai dan mengambil bahagian dalam perbarisan ini dan melihat sendiri suasana hari kebangsaan. - Bernama