KUALA LUMPUR: Program i-Saraan Plus yang baharu diperkenalkan dan disesuaikan untuk pemandu e-hailing dan p-hailing yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 merupakan lanjutan daripada kejayaan program i-Saraan.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyatakan i-Saraan Plus menawarkan had insentif padanan tahunan yang lebih tinggi iaitu RM600 dan sehingga RM6,000 sepanjang hayat.
Pemandu akan didaftarkan sebagai ahli KWSP melalui penyedia platform untuk memudahkan potongan caruman pada kadar yang ditentukan sendiri oleh pemandu.
KWSP menghargai keputusan kerajaan melanjutkan program i-Saraan pada 2026 untuk terus menawarkan insentif padanan sebanyak 20 peratus dengan had RM500 setahun dan RM5,000 sepanjang hayat.
Insentif padanan kerajaan bagi program i-Suri juga akan dilanjutkan untuk 2026 dengan had umur kelayakan dinaikkan daripada 55 kepada 60 tahun.
Insentif i-Suri ditawarkan sebanyak 50 peratus daripada jumlah caruman tahunan tertakluk kepada maksimum RM300 setahun dan RM3,000 sepanjang hayat.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn berkata program i-Saraan dan i-Suri memainkan peranan penting dalam memperluas liputan simpanan persaraan kepada lebih ramai rakyat Malaysia.
Beliau menekankan inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KWSP bagi meningkatkan tahap perlindungan sosial untuk keselamatan kewangan persaraan.
KWSP turut memaklumkan peluasan platform i-Lindung untuk merangkumi insurans dan takaful kesihatan yang membolehkan ahli menggunakan simpanan dalam Akaun Sejahtera.
Had pengeluaran di bawah Akaun Sejahtera bagi ahli yang berhasrat menunaikan ibadah haji akan dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM10,000.
Sebarang maklumat lanjut mengenai pelaksanaan langkah-langkah di bawah Belanjawan 2026 akan dikongsikan pada masa akan datang. – Bernama