SEREMBAN: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Matahari Height pada 3 Mei lepas.
Tertuduh P. Mohan, 45, didakwa memandu van secara berbahaya dan menyebabkan kematian Muhammad Annas Iskandar Mohd Khairi, 21, pada 11.59 malam di lampu isyarat Persiaran Senawang 1, Matahari Height di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda maksimum tidak lebih RM50,000, serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nadia Ezzati Mohd Zainal memohon tertuduh diikat jamin RM15,000, namun peguam Rajindar Singh yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000 dengan mengambil kira pendapatan anak guamnya sekitar RM3,000 hingga RM3,500.
“Tertuduh berniaga sendiri dan isterinya menjual bunga serta menanggung dua anaknya berusia 21 dan 22 tahun yang masih belajar,” kata Rajindar.
Majistret Nurul Farha Sulaiman membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan lesen memandu digantung sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 3 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen termasuk laporan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer, laporan forensik dan kimia.