PUTRAJAYA: Gambaran pembangunan baharu di sekitar Dataran Merdeka hingga ke Masjid Negara perlu memberi penekanan terhadap konsep warisan Melayu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap melancarkan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) di sini hari ini, beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan pembangunan di ibu negara seharusnya unik.

“Padang Merdeka (Dataran Merdeka), Bangunan Sultan Abdul Samad dan sepanjang itu akan dijadikan kawasan warisan iaitu heritage.

“... tentunya yang tonggak warisannya Melayu yang harus ketara dalam gambaran pembangunan baharu dari seluruh koridor dari Bangunan Sultan Abdul Samad,” katanya.

Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) disaran mewujudkan satu kawasan khusus warisan ‘Dunia Melayu’, yang mengandungi segala elemen aspek kehidupan mencerminkan seni budaya tinggi dan warisan Melayu.

Selain itu, beliau sekali lagi menegaskan tumpuan terhadap warung dan restoran kecil perlu diberi perhatian, kerana ia digunakan oleh masyarakat.

Anwar sebelum ini dilapor berkata pembangunan warung, gerai serta restoran yang bersih dan indah diberi tumpuan agar ia menjadi mercu tanda untuk setiap negeri dan bandar di seluruh negara.