BAGAN DATUK: Projek Bagan Datuk Interbational Fishery Industrial Park (BDIFIP) yang melibatkan pelaburan bernilai lebih RM2 bilion akan dibangunkan secara berfasa, bermula 2027.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata BFID akan dibangunkan di kawasan seluas 126.4 hektar selain dijangka melonjakkan Bagan Datuk sebagai hab perdagangan makanan laut bertaraf antarabangsa.
“Dalam konteks ini, BDIFIP menjadi cerminan iltizam kerajaan negeri dalam merintis pembangunan berimpak tinggi melalui industri perikanan dan halal, dua sektor masa hadapan yang berpotensi besar menyumbang kepada kemakmuran rakyat dan negeri.
“Projek ini akan dilaksanakan di atas tanah milik Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.), ia merupakan lokasi strategik yang secara semula jadi sudah pun menjadi pusat pendaratan ikan terbesar di Perak,” katanya.
Terdahulu teks ucapan Saarani itu dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee dalam Majlis pra pelancaran BFID di Dewan Dato’ Lope Hashim, di sini, hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.
Pada 24 Nov 2023 Saarani dalam satu kenyataan memaklumkan MB Inc. akan bekerjasama dengan Younchang Engineering and Construction (M) Sdn Bhd serta Chin Hin Group Bhd, bagi pembangunan projek BDIFIP yang dijangka menjadi antara inisiatif terbaik bagi memperkasakan agenda sekuriti makanan khususnya melalui sektor perikanan.
Sementara itu Saarani berkata apabila siap sepenuhnya, BDIFIP akan dilengkapkan dengan ekosistem industri perikanan dan halal secara menyeluruh termasuk kemudahan pemprosesan makanan laut, fasiliti akuakultur berteknologi tinggi dan sebagainya yang mematuhi piawaian antarabangsa.
“Dengan pembangunan infrastruktur strategik seperti jalan raya, utiliti, dan sistem logistik canggih, BDIFIP akan memperkukuh keupayaan rangkaian pembekal daripada bahan mentah hingga perkhidmatan sokongan, sektor pengangkutan hingga peruncitan,” katanya.
Selain itu, katanya impak berganda projek ini akan menghasilkan limpahan manfaat kepada ekonomi setempat termasuk dalam aspek peluang pekerjaan merangkumi pelbagai tahap kemahiran.
“Projek pelaburan strategik ini mengharmonikan aspek ekonomi, sosial, teknologi dan alam sekitar, sekali gus membentuk kerangka pembangunan yang seimbang, mampan dan menyeluruh demi kemakmuran bersama,” katanya.