KUALA LUMPUR: Pendakwaan dalam kes bekas Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli yang didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapatkan kontrak pekerjaan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM) hari ini menutup kes selepas memanggil 24 saksi.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi memaklumkan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob bahawa Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Ahyar Salleh Hudin ,40, adalah saksi terakhir pendakwaan.
Rozina kemudian memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 4 April manakala hujahan balas atau klarifikasi pada 6 April dan memaklumkan mahkamah akan menetapkan tarikh lain untuk memutuskan sama ada Rozman dibebaskan daripada pertuduhan atau diperintah membela diri.
Pada prosiding hari ini, tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.
Antara saksi dalam perbicaraan kes yang bermula pada 11 Ogos tahun lepas itu ialah bekas Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) Zulkurnain Ayub, bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pengangkutan Datuk Chua Kok Ching dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Pelaburan LPL Hida Jerman.
Rozman, 59, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan telah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi LLPM, yang bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara 2.30 hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Bernama