• 2025-10-11 08:34 PM

SERI ISKANDAR: Pendidikan percuma melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar kurang berkemampuan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dapat mengurangkan beban kewangan keluarga.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata inisiatif Kerajaan MADANI yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 dapat memperluas akses pendidikan tinggi kepada pelajar miskin dan golongan B40.

“Kita tahu bahawa ada kalangan masyarakat kita, pelajar-pelajar kita yang hendak masuk universiti terdiri daripada golongan miskin dan golongan B40 yang mana kita tahu dari segi latar belakang ada yang tidak berkemampuan.

“Kita beri ruang kepada mereka untuk belajar tanpa perlu membayar PTPTN, maksudnya pendidikan percuma pada peringkat universiti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Festival Idea Peringkat Negeri (FOI@Negeri) dan Festival Idea Negeri Perak (FOI@Perak) Tahun 2025 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bermula tahun hadapan kerajaan memberikan pendidikan percuma PTPTN melibatkan 5,800 anak-anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di IPTA dengan peruntukan RM120 juta setahun.

Kerajaan juga bersetuju mengecualikan bayaran balik PTPTN kepada semua mahasiswa yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di IPTA daripada keluarga pendapatan rendah dan menengah yang bakal memanfaatkan kira-kira 6,000 peminjam.

Mengenai penambahan 1,500 lagi unjuran tempat bagi Ijazah Sarjana Muda dalam 10 bidang pengajian di lima universiti penyelidikan, Zambry berkata ia langkah penting bagi memastikan lebih banyak pelajar layak dapat melanjutkan pengajian.

“Dengan penambahan tempat ini, universiti awam dapat meningkatkan kapasiti pengambilan pelajar.

“Ini langkah ke hadapan yang penting memandangkan kita mempunyai banyak pelajar yang berkelayakan tetapi terhad peluangnya,” katanya.

Berkenaan peruntukan RM18.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi, termasuk tambahan RM400 juta bagi penyelenggaraan institusi di bawah kementerian, beliau berkata inisiatif itu mengambil kira pandangan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk keperluan penambahbaikan dalam sistem pendidikan tinggi negara. – Bernama