KLANG: Penduduk Kampung Raja Uda di sini mempertimbangkan untuk mempersembahkan memorandum bantahan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pembinaan kompleks penyimpanan abu mayat setinggi empat tingkat bersebelahan masjid di kampung itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Raja Uda Azhar Ibrahim berkata sebahagian besar daripada 5,000 penduduk kampung tidak bersetuju dengan pembinaan memorial berkenaan.

Beliau berkata pembinaan memorial itu tidak dibincangkan bersama penduduk dan mereka hanya mengetahui mengenainya dua minggu lepas.

“Rata-rata penduduk khuatir kawasan kampung akan dicemari abu yang terhasil daripada proses pembakaran mayat terutamanya kepada rumah terdekat yang jaraknya kurang 10 meter dari tapak pembinaan,“ katanya kepada pemberita selepas menyertai puluhan penduduk berhimpun secara aman di Persiaran Raja Muda Musa, Pelabuhan Klang di sini bagi menzahirkan bantahan terhadap pembinaan memorial tersebut hari ini.

Azhar berkata lebih 300 notis bantahan telah dihantar oleh penduduk secara dalam talian kepada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sejak dua hari lepas berhubung pembinaan memorial yang akan dibina di atas tanah milik persendirian seluas satu hektar itu.

Beliau berkata penduduk mahu pembinaan memorial itu dibatalkan demi keselesaan mereka terutamanya yang beragama Islam.

Sementara itu, imam Masjid Kampung Raja Uda Mohd Bazaireen Baharuddin berkata pengurusan masjid turut kesal dengan cadangan pembinaan memorial yang jaraknya kurang daripada 50 meter dari kawasan rumah ibadah umat Islam itu.

“Saya bimbang selepas ini kawasan memorial akan mengadakan banyak acara keagamaan selepas ia mula beroperasi, ia akan menyebabkan penduduk beragama Islam di sini berasa tidak selesa.

“Kami harap Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Datuk Bandar MBDK dengar keluhan kami bahawa kami membantah sekeras-kerasnya pembinaan kompleks empat tingkat ini,“ katanya.