SUNGAI PETANI: Seorang pengawal keselamatan sekolah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan membuat hantaran jelik dengan niat menyakiti hati beberapa individu termasuk pendakwah pada November tahun lepas.

Abdul Hadi Fadzil, 49, mohon dibicarakan selepas pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melalui perkhidmatan aplikasi Facebook dengan menggunakan nama profil “Abdul Hadi Ben Fadzil” secara sedar membuat dan memulakan penghantaran tiga komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Hantaran komunikasi jelik terbabit dibaca di Bandar Laguna Merbok di sini, kira-kira 12.15 tengah hari pada 14 Nov 2023.

Bagi pertuduhan itu, Abdul Hadi didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hafiz Hashim memohon mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh, bagaimanapun Abdul Hadi yang tidak diwakili peguam merayu jaminan minimum dengan alasan tidak mempunyai wang.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, manakala 2 Sept ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.