Your Title

BATU GAJAH: Kerajaan Perak kini mempergiat promosi untuk menarik lebih ramai pelancong dari China yang ketika ini mendapat pengecualian visa untuk masuk ke negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee berkata pihaknya dengan kerjasama Tourism Malaysia, mengadakan perbincangan dengan pemain industri pelancongan di China mengenai mekanisme sesuai untuk menarik pelancong dari negara tersebut.

“Kita (kerajaan negeri) akan mengadakan kunjungan sekali lagi ke China pada penghujung bulan Ogos bersama-sama Tourism Malaysia, untuk pergi ke beberapa negeri di sana bagi tujuan mempromosikan lagi Tahun Melawat Perak (TMP) 2024,” katanya selepas merasmikan Taman Didik Hibur Dinosaur Encounter World: Area 65 bagi fasa ketiga di Silverlakes Village Outlet, di sini hari ini.

Pada Khamis, Malaysia dan China menyokong usaha berterusan berhubung pengecualian visa bagi memupuk hubungan persahabatan antara dua negara berkenaan, dengan China bersetuju melanjutkan kemudahan itu sehingga akhir 2025 dan sebagai balasan, Malaysia akan melanjutkan pengecualian visa sehingga akhir 2026.

Terdahulu, Loh dalam ucapannya berkata Dinosaur Encounter World mampu merancakkan industri pelancongan negeri Perak, yang kaya dengan khazanah alam semula jadi dan warisan sejarah.

Beliau berkata keistimewaan Dinosaur Encounter World terletak pada pengalaman imersif yang ditawarkan kepada pengunjung melalui penggunaan Teknologi Animatronik dan Teknologi Realiti seperti Realiti Campuran, Realiti Terimbuh dan Realiti Maya.

Loh berkata perkara itu merupakan satu inovasi yang bakal mengubah landskap industri pelancongan negara dan membuktikan bahawa Perak sentiasa di hadapan dalam meneroka dimensi baharu.

“Namun, taman tema ini bukan sekadar pusat hiburan semata-mata. Ia turut menerapkan elemen pendidikan yang sesuai untuk semua peringkat umur, terutamanya kanak-kanak, dalam mempelajari sains prasejarah melalui kaedah pembelajaran di luar bilik darjah.

“Ini sekali gus memperkaya minda dan memberi nilai tambah kepada para pengunjung dari segi perkembangan kognitif, kemahiran komunikasi dan psikososial,“ katanya.