Your Title

MARANG: Seorang pengetua sekolah menengah di sini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang pelajar perempuannya.

Mohd Tajudin Mokhtar, 59, didakwa berkomunikasi secara seksual dan menunjukkan gambar perempuan seksi kepada mangsa yang berumur 16 tahun di dalam pejabatnya pada 8.30 pagi 2 Julai lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan Seksyen 15(e) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Maisarah Abd Razak tidak menawarkan sebarang jaminan namun berkata sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, beliau mencadangkan RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Peguam Abdul Haiyyi Salim pula memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya telah berkhidmat selama 32 tahun dan perlu menanggung seorang anak masih belajar serta isteri yang mempunyai masalah kesihatan.

Majistret Zur Azureen Zainalkefli membenarkan Mohd Tajudin diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan dua penjamin dan membenarkan syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan serta menetapkan 14 Jan 2025 untuk sebutan semula kes.