KUALA LUMPUR: Penghargaan Khas yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam telah mengambil kira keupayaan fiskal negara, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, menjelaskan bahawa peruntukan tersebut merupakan tambahan kepada perancangan Belanjawan 2025.
“Peruntukan ini juga sebagai tambahan kepada apa yang telah direncanakan dalam Belanjawan 2025,“ kata Tunku Nashrul dalam taklimat harian PMO yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia.
Semalam, Anwar mengumumkan beberapa inisiatif utama sebagai tanda penghargaan Kerajaan MADANI kepada rakyat.
Antaranya ialah pemberian RM100 secara sekali beri di bawah program SARA kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas.
Selain itu, kerajaan turut menangguhkan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya dan mengekalkan subsidi harga RON95 pada RM1.99 seliter.
Anwar menegaskan bahawa ekonomi Malaysia berada di landasan kukuh meskipun menghadapi pelbagai cabaran.
“Ekonomi Malaysia yang berada di landasan kukuh dan meyakinkan di sebalik segala keresahan dan kekangan yang berlaku, telah membolehkan pelbagai ikhtiar meningkatkan darjat hidup rakyat dilaksanakan,“ katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan akan terus memperbaiki inisiatif bantuan melalui Belanjawan MADANI keempat pada Oktober ini sebagai langkah berterusan untuk meringankan beban rakyat. – Bernama