GEORGE TOWN: Seorang peniaga didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki bahan al-Quran yang tiada kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bernilai RM11,711 Mac lepas.

Peter Ch’ng Kian Poh, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.

Siti Nurul Suhaila juga memerintahkan Ch’ng dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Ch’ng mengaku bersalah memiliki 13 unit muqaddam digital Ebook-ku, 492 unit Eletree Zikir & Ruqyah dan 59 unit Azan Clock Speaker yang tiada perakuan kelulusan oleh lembaga pengawalan dan perlesenan pencetakan al-Quran (KDN) di sebuah premis perniagaan di Jelutong di sini, lebih kurang 1.45 tengah hari pada 26 Mac lepas.

Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 6(1) Akta Pencetakan Teks Al Quran 1986 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu peguam mewakili tertuduh, Mima Falaq Mohd Firdaus memohon mahkamah mengenakan hukuman denda minimum memandangkan ini merupakan kesalahan pertama anak guamnya serta pengakuan bersalah itu telah menjimatkan kos dan masa semua pihak.

Beliau berkata anak guamnya mempunyai pendapatan RM8,000 sebulan dan perlu menanggung kedua ibu bapanya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa KDN Pulau Pinang Che Mahadzir Saad memohon mahkamah mengenakan denda yang setimpal sebagai pengajaran kepada peniaga lain demi menjaga kesucian al-Quran.