JOHOR BAHRU: Seorang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Mohd Azrul Nazwan A Rani, 42, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM3,000 tahun lepas.
Tertuduh didakwa memperoleh wang suapan itu daripada seorang pengurus restoran sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap individu tersebut yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Mohd Azrul Nazwan, yang ketika itu bertugas di Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru, dituduh melakukan kesalahan di sebuah restoran di tingkat bawah Merlin Tower, Jalan Meldrum di sini antara pukul 8 hingga 9 malam pada 25 Julai 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama. Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Siti Asmah Zainal Arifin, mengendalikan pendakwaan manakala peguam Ahmad Syafiq Mohd Ghazali mewakili tertuduh.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membenarkan Mohd Azrul Nazwan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin. Syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Johor Bahru setiap bulan. Kes ini ditetapkan untuk sebutan semula pada 5 Ogos.