TAPAH: Program Penunaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di kawasan pedalaman diperluas kepada masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Amir Hamzah berkata peruntukan sebanyak RM10 bilion telah disediakan tahun ini untuk lebih 8 juta penerima STR dan berdasarkan pangkalan data STR, terdapat 82,000 masyarakat Orang Asli yang berdaftar dan layak mendapat STR berjumlah RM82.4 juta.

Bagaimanapun katanya daripada jumlah itu, sebanyak 14,000 anggota masyarakat Orang Asli tidak mempunyai akaun bank dan perlu hadir ke cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara untuk membuat penunaian.

“Yang hari ini perhentian pertama untuk Semenanjung Malaysia sebab sebelum ini penunaian STR ada di Sabah dan Sarawak, penunaian masuk akaun bank dan penunaian tunai pun ada. Ada BSN siapkan cawangan bergerak, mereka yang layak nak bawa keluar tunai boleh serta-merta masa itu juga.

“Jadi kita nak perkhidmatan yang begitu juga diadakan di Semenanjung. Dijangka di Semenanjung ini kita akan perluaskan di tempat-tempat seperti Kuala Lipis, Rompin (Pahang), Gua Musang (Kelantan) dan Hulu Perak (Perak),” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Amir Hamzah sebelum itu meninjau pelaksanaan Program Rintis Penunaian STR 2024 di kawasan pedalaman bagi Masyarakat Orang Asli di daerah Batang Padang di sini, melibatkan 409 penerima dari perkampungan sekitar daerah itu.

Beliau berkata pihaknya berterima kasih kepada BSN yang membantu menjayakan program itu selain menyediakan kemudahan untuk penerima mendaftar dan membuka akaun bank.

“Kita harap dengan adanya akaun bank kita juga boleh meninggikan kecelikan kewangan (pengurusan kewangan) mereka dan program kecelikan (kewangan) boleh diadakan juga,” katanya.

Terdahulu beliau turut meninjau pelaksanaan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di sebuah pasar raya di sini.

Sementara itu, pesara polis Kedek a/l Che Tom, 73, dari Kampung Chang, Bidor berkata proses mengeluarkan wang tunai bagi program hari ini amat mudah.

“Saya hanya wakilkan anak saya yang merupakan golongan orang kurang upaya (OKU) selepas dia terlibat dalam kemalangan jalan raya. (Wang) Tunai ini akan digunakan untuk keperluan anak saya itu,” kata bapa kepada enam cahaya mata itu.

Dalam pada itu, seorang lagi penerima STR Sarayan a/p Bah Nai, 29, dari Kampung Senta, Bidor berkata wang yang diterima itu akan disimpan ke dalam bank untuk kegunaan dirinya yang masih bujang. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image