KUALA LUMPUR: Peranan wanita dalam sektor tidak formal, terutamanya sebagai suri rumah dan penjaga keluarga, perlu diiktiraf dan dihargai setimpal dengan sumbangan mereka kepada masyarakat dan negara.
Demikian ditegaskan oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Hal Ehwal Wanita dan Keluarga berkata, dasar seperti Dasar Wanita Negara (DWN) dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) 2025–2030 bukan sahaja memberi penekanan terhadap pemerkasaan wanita, malah meningkatkan kesedaran awam tentang peranan besar mereka dalam kemajuan negara.
“Dasar ini penting bagi memajukan wanita, menaikkan imej, dan menghargai sumbangan mereka.
Polisi ini mencerminkan komitmen kerajaan ke arah masa depan yang lebih baik untuk wanita, terutamanya dalam pembangunan negara,” katanya selepas merasmikan Walkabout Khas DWN dan PTPW di Parlimen Malaysia.
Majlis bertemakan ‘Martabat Wanita, Memperkukuh Negara’ itu turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, yang mencadangkan kerja penjagaan tidak berbayar sewajarnya dihargai setara dengan kerja berbayar.
“Kita perlu tukarkan kepada sesuatu yang bersamaan dengan kerja penjagaan berbayar, khususnya bagi wanita dalam kumpulan rentan,” kata Nancy.
Beliau turut menekankan keperluan sistem sokongan lebih kukuh untuk wanita berkerjaya, termasuk penyediaan taska di tempat kerja. – Bernama