KUALA LUMPUR: Perkembangan ekonomi negara yang semakin baik dan berada di landasan terbaik membolehkan Kerajaan Perpaduan melaksanakan pelbagai rancangan serta program demi kesejahteraan rakyat.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan berkata selaku Ahli Parlimen Sungai Buloh, beliau akan turut memastikan penduduk mendapat manfaat daripada pembangunan di kawasan itu.

“Kerajaan Perpaduan telah meletakkan negara di landasan perkembangan ekonomi yang semakin baik dan menyerlah. Saya akan pastikan yang terbaik untuk warga Sungai Buloh. Itulah keutamaan saya selaku Ahli Parlimen kawasan ini,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Beliau turut memaklumkan telah bertemu dengan wakil komuniti dan barisan kepimpinan komponen Kerajaan Perpaduan untuk sesi ramah mesra sempena bulan kemerdekaan.

“Sempena Bulan Kemerdekaan ini, marilah kita sama-sama menghayati nilai-nilai kemerdekaan demi keamanan, kesejahteraan, kemakmuran dan kestabilan ‘Negaraku’ yang tercinta ini,” katanya.

Ramanan berkata perpaduan rakyat adalah kekuatan dan keunikan Malaysia manakala isu 3R yang menyentuh kaum, agama serta institusi diraja tidak wajar dimainkan oleh mana-mana pihak.

“Janganlah gunakan sentimen agama dan kaum sebagai modal politik. Jangan syok sendiri fakta untuk kepentingan diri sendiri untuk mencari modal politik,” katanya.