Your Title

KUALA LUMPUR: Persatuan Haiwan Malaysia menawarkan ganjaran RM3,000 kepada saksi yang menyalurkan maklumat dan mengesahkan kejadian seorang lelaki melapah kucing di Pasar Meru, Klang, Selangor baru-baru ini.

Dalam hantaran menerusi laman Facebook hari ini, persatuan itu memaklumkan menurut sumber, pelaku disyaki seorang pekerja kedai makanan ringan di depan pasar berkenaan dan dipercayai tinggal di Batu Belah, Klang.

“Mengikut video yang baru diterima Persatuan Haiwan Malaysia, lelaki yang sedang melapah kucing ini dipercayai berbangsa Myanmar dan berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dengan pelat warga asing,” menurut hantaran berkenaan.

Persatuan itu memaklumkan satu siasatan menyeluruh berkaitan kejadian itu perlu dibuat bagi mengenal pasti kaedah yang digunakan untuk membunuh kucing berkenaan serta niat lelaki itu sama ada bertujuan untuk dijadikan makanan atau suka-suka.

“Sahabat, saudara, kenalan, jiran atau sesiapa sahaja yang pernah melihat lelaki yang sedang melapah kucing ini mohon salurkan maklumat lengkap kepada Persatuan Haiwan Malaysia (melalui WhatsApp) 014-6345464 supaya satu laporan rasmi dapat diajukan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kes yang diyakini berlaku dalam Malaysia baru-baru ini,” menurut persatuan itu.