CHUKAI: Pertembungan antara Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Rafizi Ramli bagi merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pemilihan PKR bagi sesi 2025-2028, perlu dilihat sebagai satu persaingan sihat dalam sebuah keluarga.

Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata beliau yakin, persaingan dua nama besar dalam parti itu tidak akan menimbulkan perbalahan dan perpecahan dalam kalangan ahli.

“Ini demokrasi, kalau demokasi kita lalui dengan sihat, berkempen dengan sihat dan selepas keputusan itu, kita move on, yang penting kita tahu apa yang kita buat.

“Rakyat sedang memerhati dan akan ada impak pada pilihan raya nanti. Jadi kita buat yang terbaik bagi pastikan parti dalam keadaan baik untuk menghadapi pilihan raya, bagi pastikan dapat keputusan positif dan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Operasi Penguatkuasaan Kenderaan Bermotor, di sini hari ini.

Dalam pada itu ditanya mengenai keyakinannya mempertahankan jawatan Naib Presiden parti, Nik Nazmi berkata : “Kalau tak yakin saya tak bertanding, kalau anggota perwakilan memilih saya, saya akan kekal,” katanya.

Bagi jawatan Naib Presiden, 12 pemimpin mengemukakan pencalonan masing-masing termasuk empat penyandang iaitu Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang; dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari selain Nik Nazmi.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres Angkatan Muda Keadlan (AMK) dan Kongres Wanita dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru, manakala 23 Mei ditetapkan sebagai hari pengundian.