BEIJING: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sedang mempercepatkan usaha untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan kongsi gas asli cecair (LNG) jangka panjang yang boleh dipercayai kepada China dengan mengembangkan pembangunan gas domestik dan portfolio pengeluaran globalnya bertujuan untuk memastikan bekalan tenaga yang konsisten dan mampan untuk salah satu pengimport LNG terbesar di dunia.

Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan LNG, Gas & Maritim Petronas Shamsairi Ibrahim berkata syarikat itu sedang membina rangkaian pengeluaran global untuk menyediakan sumber bekalan alternatif bagi permintaan LNG China yang semakin meningkat.

“Projek-projek ini termasuk medan gas domestik baharu seperti Timi, Kasawari dan Jerun, pada masa sama meneruskan pembangunan medan gas Rosmari dan Marjoram untuk memastikan bekalan jangka panjang daripada kompleks LNG kami,“ katanya kepada Bernama ketika ditemui di luar Persidangan Gas Dunia 2025 di Beijing.

Permintaan LNG melonjak di China

Shamsairi berkata peningkatan ini berlaku apabila import LNG China melonjak kepada sekitar 77 juta tan pada 2024, naik 8.1 peratus daripada tahun sebelumnya, dipacu oleh pemulihan ekonomi dan pengembangan infrastruktur.

Bagi masa depan, import China dijangka melebihi 83 juta tan metrik pada 2025, mengatasi rekod sebelumnya sebanyak 79 juta tan metrik pada 2021.

Beliau berkata Petronas kekal komited untuk mengukuhkan kehadirannya di China dan meningkatkan kebolehpercayaan bekalan bagi menyokong matlamat dwi tenaga, keselamatan dan penyahkarbonan China.

“Pada masa ini, Petronas menyumbang kira-kira 10 peratus daripada import LNG China,” ia mengeksport kira-kira lapan juta tan setahun (MTPA) ke China pada 2024,” katanya.

Memanfaatkan keupayaan LNG

Sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjangnya, Petronas memanfaatkan keupayaan pencairannya di Kompleks LNG Petronas di Bintulu sambil mengembangkan projek antarabangsa untuk meningkatkan fleksibiliti dan daya tahan bekalan terhadap peralihan pasaran dan geopolitik.

“Di peringkat antarabangsa, kami sedang mengembangkan nod bekalan dari Amerika Utara terutamanya dengan kargo pertama kami dari LNG Kanada dijangka pada pertengahan Jun 2025,” kata Shamsairi.

Projek LNG Canada akan menawarkan Petronas lebih fleksibiliti dalam membekalkan rantau Asia-Pasifik termasuk China dan mengoptimumkan laluan Pasifik serta mengurangkan pergantungan kepada mana-mana sumber tunggal.

Selain projek huluan dan pencairan (mencairkan gas asli), Petronas meningkatkan infrastruktur perkapalan dan penghantaran LNG untuk memenuhi permintaan yang berkembang termasuk aplikasi marin, di darat dan luar grid.

“Kami telah menambah tiga kapal baharu untuk menyokong penghantaran ke terminal Wuhaogou Shenergy di Shanghai.

“Selain itu, syarikat menyediakan Sistem Paip Maya LNG (VPS) untuk Sungai Yangtze dan memperkenalkan pengisian bahan api LNG untuk pengangkutan marin,“ katanya.

Petronas sedang menambah kapalnyanya dengan pengangkut LNG cekap tenaga dengan empat sedang dalam pembinaan di limbungan Hudong-Zhonghua di China.

Sistem VPS yang menggunakan bekas tangki ISO menghantar LNG kepada pelanggan luar grid di seluruh Semenanjung Malaysia, membolehkan akses tenaga lebih bersih untuk kawasan terpencil yang kekurangan infrastruktur gas asli.

“Kami telah memulakan penghantaran tangki LNG ISO berskala besar dari Bintulu ke pedalaman China melalui Tiger Clean Energy,” katanya.

Di kompleks Bintulu, Petronas sedang menaik taraf infrastruktur dengan elektrifikasi loji dan melupuskan turbin gas yang lebih lama dan kurang cekap secara berperingkat.

“Mulai pertengahan 2026, Kompleks LNG Petronas secara beransur-ansur akan dikuasakan oleh elektrik hijau, membolehkan kami menghentikan penggunaan turbin yang tidak cekap,” katanya.

Kemudahan luar pesisir, LNG Terapung (FLNG) Petronas—PFLNG Satu dan PFLNG Dua—menunjukkan keupayaan pengeluaran yang mampan, membolehkan pengeluaran LNG luar pesisir tanpa pembangunan tanah berskala besar.

Unit FLNG ketiga sedang dalam pembinaan di Korea Selatan dan dijangka akan ditauliahkan pada 2027 dengan kapasiti reka bentuk 2.1 juta tan setahun.

Pelaburan dalam kapal dwi-bahan api, inovasi perkapalan

Melangkah ke depan, Petronas juga merancang untuk melabur dalam kapal dwi-bahan api dan meneroka inovasi seperti pembawa CO₂ cecair dan ammonia dengan menjangkakan permintaan pengangkutan tenaga masa hadapan.

“Dengan portfolio global kami yang pelbagai dan tawaran yang disesuaikan, Petronas berada pada kedudukan baik untuk memenuhi pelbagai keperluan pasaran merentasi permintaan jangka pendek, sederhana dan panjang,” kata Shamsairi.

Beliau menyokong strategi pasaran yang seimbang, menggabungkan kontrak jangka panjang untuk kestabilan dengan perjanjian jangka pendek untuk mengendalikan turun naik permintaan, mencatatkan peralihan beransur-ansur dalam syarat bekalan sejak beberapa tahun lepas.

“Walaupun permintaan yang semakin meningkat untuk tenaga boleh baharu, hidrokarbon masih memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan tenaga global, menyumbang 80 peratus hari ini dan diunjurkan untuk menyediakan kira-kira 30 peratus bekalan hingga 2050,“ katanya.

Beliau berkata permintaan didorong oleh pasaran Asia-Pasifik yang berkembang pesat, di mana keperluan tenaga yang meningkat bermakna tenaga boleh baharu sahaja mungkin tidak memenuhi permintaan beban asas dalam tempoh terdekat.