KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Bandar Tun Razak hari ini membuat laporan polis terhadap tiga pengguna media sosial yang didakwa memuat naik hantaran berbaur fitnah terhadap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Laporan polis dibuat oleh Ketua Wanita PKR cabang iaitu Jamilah Syed Mohamed di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di sini hari ini.
Jamilah berkata hantaran itu jelas berniat jahat untuk menyebarkan fitnah dan memberi gambaran seolah-olah isteri Perdana Menteri itu menyokong Israel.
“Saya berharap agar pihak berkuasa dapat melakukan siasatan secara terperinci dan menyeluruh serta mengambil tindakan tegas dan tangkapan berlandaskan undang-undang negara.
“Video seperti ini boleh menjatuhkan reputasi Ahli Parlimen Bandar Tun Razak sebagai isteri Perdana Menteri dan juga reputasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,“ katanya kepada pemberita hari ini.
Semalam, tiga pengguna media sosial memuat naik gambar dan video Dr Wan Azizah yang disunting daripada Instagram milik Perdana Menteri Israel semasa hadir ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York, Amerika Syarikat, pada 21 Sept lepas. - Bernama